Ternakan cacing hasilkan baja

April 26, 2009

 

Kegawatan ekonomi menyebabkan kebanyakan kos input pertanian seperti baja dan racun serangga semakin meningkat.

Sudah tentu ini memberikan kesan kepada usahawan tani yang amat memerlukannya bagi meningkatkan produktiviti hasil pertanian masing-masing.

Justeru seorang usahawan tani, Mohd. Nasir Zainudin, 50, mencari alternatif lain bagi menghasilkan baja sendiri.

Beliau yang mempunyai ladang kelapa sawit dan pisang di Sabak Bernam dan Bagan Datoh, Perak memerlukan sekurang-kurangnya 50 tan baja semusim untuk ladangnya.

"Saya melihat ternakan cacing sesuai kerana boleh menghasilkan baja menggunakan bahan sisa pertanian," katanya semasa ditemui di rumahnya di Jalan Haji Karim, Kampung Sungai Air Tawar, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.

Baru memulakan ternakan cacing selama beberapa bulan, Mohd. Nasir membeli cacing daripada pembekal di tempatnya.

Bermula dengan 30 petak dengan saiz 6 kaki x 5 kaki dan belum lagi menuai hasil, Mohd. Nasir telah menambah 10 lagi petak menjadikannya 40 petak.

"Buat masa ini saya baru menggunakan baja cacing untuk ladang kelapa sawit tetapi masih belum melihat hasilnya.

"Bagaimanapun dengan menghasilkan sendiri baja saya boleh mengurangkan kos," katanya yang akan menggunakan baja untuk kegunaan sendiri.

Ujarnya, satu petak ternakan memerlukan kira-kira 2,000 ekor cacing.

Bagaimanapun selepas tiga hingga empat bulan setiap petak akan mempunyai antara 8,000 hingga 10,000 ekor cacing.

"Cacing ini perlu perlu dialihkan ke petak-petak lain untuk memproses baja," katanya.

Di dalam petak berkenaan, usahawan ini meletakkan tahi kambing dan sabut kelapa sebagai media.

"Menternak cacing agak mudah kerana selepas meletakkan media, kita hanya perlu menyembur air seminggu sekali.

"Ini bagi memastikan kawasan petak tidak kering dan boleh mengakibatkan cacing mati," katanya.

Beliau juga mengumpulkan air cacing yang terhasil daripada proses penghasilan baja untuk dijadikan baja.

Bagi menghasilkan baja beliau membeli tahi kambing dan sabut kelapa daripada pengusaha di Perak dan Selangor.

Bagaimanapun tahi kambing yang dibeli perlu dikuarantin atau diperam dan disiram dengan air selama lebih kurang seminggu sebelum diletakkan pada petak cacing.

Ini bagi mengurangkan bau dan memberikan persekitaran yang selesa bagi cacing.

Mohd. Nasir berkata, jika eksperimennya berjaya, beliau tidak akan teragak-agak menggunakan baja cacing untuk semua tanaman di ladangnya.

 

 

 

 

 

Pemprosesan dan pemasaran pertanian makin digemari

April 20, 2009

Pembangunan industri asas tani telah melonjakkan pasaran produk makanan Malaysia bukan sahaja untuk keperluan negara, bahkan ke peringkat antarabangsa.

Namun begitu, aspek keselamatan dan perundangan makanan adalah prosedur wajib sebelum di terima pasaran.

Malaysia juga tidak terkecuali dalam mengawal kualiti dan keselamatan makanan melalui Peraturan Makanan 1985 selaras dengan Codex Alimentarius dan perundangan negara lain.

Perundangan keselamatan makanan ini mengambil kira peraturan kebersihan, import makanan, iridiasi makanan dan juruanalisis makanan.

Bagi memenuhi keperluan makanan ini, Malaysia perlu meningkatkan keupayaan kemahiran berkaitan teknologi pemprosesan makanan sebagai pengeluar makanan selamat serta berkualiti.

Dari aspek komersial pula, pencapaian standard berkenaan dapat meningkatkan daya saing industri makanan Malaysia.

Menyedari kepentingan tersebut, Institut Skill-Tech mengorak langkah menjalankan kursus Operator Pengeluar Pemprosesan Makanan Tahap Satu dan Dua, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Kementerian Sumber Manusia.

Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek berkata, permintaan yang sangat memberangsangkan terhadap kedua-dua kursus ini memperlihatkan tanda-tanda bahawa kesedaran semakin tinggi di kalangan masyarakat berkenaan pengeluaran dan pemasaran makanan.

‘’Potensi pasaran makanan berasaskan pertanian hingga ke peringkat antarabangsa menarik minat generasi muda untuk menyertai kursus seumpama ini,'’ katanya.

Kursus setahun yang dianjurkan oleh Institut Skill-Tech dapat membuka ruang kepada mereka yang berminat untuk menjadi pengeluar dan pengedar makanan berasaskan pertanian.

‘’Jika mereka mempunyai kemahiran pemprosesan dan pemasaran, mereka tidak perlu mempunyai tanaman sendiri. Sebaliknya mereka boleh menjadi usahawan berjaya dengan membeli hasil pertanian yang ditanam orang lain,'’ ujar Nordin.

Sepanjang tempoh berkursus, bidang pemprosesan makanan memberi penekanan tentang proses kerja yang melibatkan penggunaan makmal pengeluaran.

Mereka bukan sahaja didedahkan dengan aspek keselamatan kerja tetapi juga penyediaan bahan makanan sehingga terhasil produk makanan sepenuhnya.

Dalam erti kata lain, mereka akan mempelajari teknik memproses bahan mentah hinggalah pembungkusan produk mengikut piawaian yang ditetapkan.

Tidak ketinggalan, Institut Skill-Tech turut memfokuskan pembangunan produk halal kerana mereka berpengalaman menjalankan kursus pensijilan halal dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2005.

Dalam bidang pemasaran pula, Institut Skill-Tech ingin mengembangkan bidang tersebut melalui kursus Wakil Jualan dan Penyelia Jualan.

‘’Banyak syarikat termasuk pasar raya bertaraf hypermarket yang tidak mempunyai ladang pertanian mereka sendiri tetapi mampu meraih keuntungan dengan mengedarkan produk pertanian kerana kekuatan strategi pemasaran mereka,'’ kata Nordin.

Institut Skill-Tech berharap dapat melahirkan pengedar makanan pertanian terlatih melalui kursus ini. Dalam masa yang sama, mereka juga akan mempunyai kesungguhan untuk meneroka pasaran baru produk berasaskan pertanian.

Menurut Nordin, kedua-dua kursus ini akan dijalankan sepenuhnya di MITC, Melaka.

Memandangkan pembiayaan kursus adalah percuma, belia bumiputera yang berumur 18 hingga 35 tahun digalakkan menyertai kursus ini. Selain itu, mereka juga akan diberikan elaun sara diri berjumlah RM300 sebulan selama setahun.

Kursus ini adalah biasiswa penuh Mara. Setiap pelatih yang berjaya menamatkan kursus akan mendapat sijil SKM dan sijil keusahawanan INSKEN. Untuk maklumat lanjut hubungi 06-5531416 atau 06-5531418.

 

nampak menarik, sape2 minat leh la g kursus ni….